Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari
hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan
bertanggungjawab. Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami
ialah:
Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin
kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk
makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan
kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya
Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.
Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk
memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah
dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain
yang palsu, penipuan dan penyelewengan.
Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai
keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang
dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi
menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.
Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang
sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat
serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.
Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang
cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan'
serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati
perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang
mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran
atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib
diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.
Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan
berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi
perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah
pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi
pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak
menjadi pengguna yang bijak.
Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan
sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini
diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan
adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.
No comments:
Post a Comment
Your comment is much appreciated. Thanks :)